My scribbles

Friday, April 23, 2010

Runtuhnya moral di kalangan belia. Apa resolusi?


Gejala pembuangan bayi semakin berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan statistic terbaru mempersembahkan 17,303 orang bayi baru lahir tanpa berbapa telah meninggalkan saya tercongak congak sendirian memikirkan.. apa sudah jadi pada masyarakat ini? Negara kecil Malaysia dengan kapasiti penduduk yang tidak sampai 25 juta tetapi mempunyai generasi tak bernasab seramai hampir 17 ribu orang... O Tuhan.. musibah apakah yang telah menimpa umat ini?

Helaian akhbar saban hari galak menyiarkan kes pembuangan bayi di merata rata. Ada yang dibuang sejurus selepas lahir, ada yang dibuang ke dalam tong sampah sehingga tiada yang sedar ia sudah hampir separuh terbakar…saya sendiri berpengalaman merawat salah seorang ibu bayi ini yang dapat ditangkap pihak berkuasa setelah meninggalkan bayinya di Masjid Terapung Kuala Terengganu. Bayi tersebut dijumpai mati dalam ruang solat wanita setelah hampir seharian ditinggalkan berbungkus dengan kain batik. Hasil rawatan mengesahkan wanita tersebut mempunyai beberapa kesan seperti baru melahirkan dan kini berhadapan dengan tuduhan membunuh buat pertama kali dalam kes buang bayi sepertinya di Malaysia.

Apa yang saya lalui sendiri di dalam mengendalikan kes kes perempuan mengandung luar nikah, perlakuan seks di bawah umur, keganasan rumahtangga (domestic violence) sangat mendukacitakan. Bukan saja hampir saban hari kes- kes seperti ini singgah di kecemasan, tetapi juga sikap pesakit-pesakit ini tak ubah seperti ‘alah bisa tegal biasa’. Saya cuba untuk melakukan beberapa pendekatan ‘lembut’ dalam usaha untuk menginsafkan mereka dalam 10-15minit konsultasi tapi hasilnya masih kurang memuaskan. Boleh saya katakan kebanyakan daripada remaja –remaja ini kelihatan ‘tegar’ dengan maksiat dan tiada usaha untuk melepaskan diri dari lingkungan kawan kawan yang tidak baik. Bila didengarkan nasihat dan teguran, ada yang sekadar menunduk tanpa apa-apa perasaan atau sekadar tersengih-sengih sendirian.

Saya tidak mahu untuk mengambil sikap buruk sangka terhadap semua mereka yang terlibat dalam kancah maksiat seperti ini. Tetapi kita juga harus mempunyai semangat dakwah yang tinggi untuk menyedarkan sekaligus memelihara generasi hadapan daripada terjebak dalam masalah kebejatan sosial seperti ini. Antara yang dapat kita lakukan adalah dengan bermula dari diri kita sendiri. Siapkan dirimu dengan senjata iman.

Berbicara mengenai iman, kebanyakan daripada kita merasa selesa dengan keadaan iman di waktu dulu. Sehinggakan tidak ada DAYA USAHA untuk terus menerus meng’upgrade’ iman dari semasa ke semasa. Ini menyebabkan diri tidak ada ketahanan untuk berhadapan dengan arus jahiliyah yang berlegar di sekeliling masyarakat moden ini. Cuba anda bayangkan begini.. seorang kanak-kanak dengan ke’teloran’ bahasanya bercakap sambil memegang mainan baru. Dia terus menerus dalam ke’pelat’an bahasa ‘telor’nya bercakap sehingga ke sekolah menengah. Bukankah dia nanti akan menghadapi masalah untuk bergaul dengan rakan sebayanya? Mungkin sahaja dia akan diejek oleh temannya kerana tidak mahu mencuba MENGUBAH ‘telor’ bahasa kanak-kanaknya kepada dewasa. Mungkin sahaja dia akan stress sendiri dengan keadaan dirinya yang tidak berubah ke arah kedewasaan dan kematangan.

Begitu juga halnya dengan iman..

Iman sepertimana dihuraikan oleh Sayid Qutb di dalam Tafsir Fi Zilalil Quran..bersifat dinamik dan progresif. Ertinya iman menjadikan seseorang itu semakin maju dalam membaikkan dirinya. Seorang muslim yang beriman tidak akan membiarkan dirinya terus menerus leka dalam maksiat melainkan dia sendiri mengambil iltizam untuk membaikkan dirinya.

Dia berusaha untuk solat berjemaah setiap masa di masjid atau surau, bercakap benar, memperbaharui hafazan dan memperelokkan ibadah hariannya, bergaul baik dengan kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga, beriltizam dengan akhlak muslim yang soleh.. Begitu juga dengan seorang muslimah yang solehah.. dia akan sentiasa berusaha untuk solat di awal waktu, menutup aurat mengikut caranya yang betul, beriltizam dengan akhlak islam yang baik, melengkapkan diri dengan hafazan dan bacaan Al-Quran dan sebagainya..

Adakah semua itu cukup untuk menjamin kita daripada terselamat daripada gejala kebejatan sosial di sekeliling kita?

Masih tidak cukup.. seandainya tidak ada perasaan ingin menasihati orang lain di dalam hati kita. Ini kerana tidak ada gunanya seorang muslim itu soleh sendirian sedangkan di sekelilingnya dipenuhi orang orang yang jahat yang berpotensi untuk mengajaknya kea rah kemungkaran. Perkara paling utama yang perlu dilakukan adalah bergaul dengan kawan-kawan yang ada di sekelilingnya dan beruasaha untuk memperbaiki mereka sepertimana kita memperbaiki diri kita.

Sememangnya sukar untuk kita bermula melakukan perubahan didalam diri dan mereka yang berada di sekeliling kita. Tetapi dengan melihat apa yang terjadi saban hari, kita harus bermula…suka atau tidak.. bermula dengan kaedah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat dalam menegakkan islam di muka bumi ini.. Yakinlah, apabila seorang muslim /ah itu berniat untuk melakukan kebaikan, ALLAH telah terlebih dahulu memberikan ganjaran pahala yang banyak kepadanya. Maka berusahalah.. untuk memperbaiki dirimu …dan rakan-rakan di sekelilingmu.. agar dapat kita sama-sama menghindari kemelut kerosakan akhlak yang semakin hari semakin membimbangkan ini.



No comments: