My scribbles

Thursday, September 29, 2011

HIMPUNAN SEJUTA UMAT


1.      Pengenalan

Peristiwa 3 Ogos 2011 membabitkan penyiasatan JAIS terhadap keterlibatan pihak Gereja dan pertubuhan-pertubuhan NGO Kristian cuba memdakwahkan ajaran Kristian kepada orang-orang Islam merupakan rentetan kepada pelbagai peristiwa sebelumnya.  Sebelum ini masyarakat Islam digemparkan dengan kes Jamaluddin Othman, Nor Aishah Bukhari, Lina Joy, ‘The Herald’ yang mencabar maruah dan sensitiviti umat Islam, isu ‘Al-Kitab’, isu penggunaan perkataan ‘Allah’ dan pelbagai lagi dapatan-dapatan yang menimbulkan keresahan berpanjangan khususnya bagi masyarakat Islam di negara ini.

Kegiatan Kristianisasi dikalangan orang-orang Islam yang lemah dan terdedah dengan dakyah mereka semakin berleluasa.  Pendakwah-Pendakwah Kristian bebas memberi khidmat sosial kepada pesakit-pesakit kronik di wad-wad hospital terpilih, menganjurkan kelas-kelas tuisyen untuk anak-anak orang Islam yang diwarnai ajaran Kristian.  Menyebarkan risalah secara terbuka di tempat-tempat awam dan rumah-rumah persendirian, mengadakan acara-acara hiburan yang ditaja pertubuhan-pertubuhan Kristian, menganjurkan majlis-majlis makan malam seperti makan malam Thanksgiving, memberi hadiah kepada golongan-golongan orang Islam yang mudah terdedah dan berbagai-bagai lagi.

Peristiwa 3 Ogos 2011 telah menimbulkan banyak reaksi daripada pelbagai pihak.  Di satu pihak JAIS dan YB Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali dikecam habis-habisan oleh pemimpin-pemimpin Kristian melalui media cetak dan media baru yang menjadi saluran kepada usaha dakwah mereka. 
Tidak kurang juga tindakan mempolitikkan isu Aqidah ini dalam mana parti-parti politik mengambil kesempatan meraih sokongan rakyat untuk tujuan politik mereka dengan memaparkan peristiwa itu mengikut jalur selera mereka.
                                                              


2.      Apa dia Himpunan Sejuta Umat?

Himpunan Sejuta Umat antara lain mempunyai objektif berikut:

a.      Untuk menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media.

b.      Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.

c.       Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.

d.      Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.

e.      Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.

f.        Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.


3.      Prinsip Pengendalian Program

Himpunan  Sejuta Umat ini akan dikendalikan mengikut lunas-lunas berikut:

a.      Keseluruhan pengendalian program dari awal hingga akhir sama sekali tidak menggambarkan kecenderungan berpolitik.

b.      Peserta himpunan terdiri daripada semua rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan agama dan afiliasi politik (Walaupun perhimpunan ini secara logiknya akan disertai oleh orang Islam namun penyertaan mereka yang bukan Islam dialu-alukan).

c.       Himpunan ini adalah perhimpunan aman yang mendapat kebenaran pihak yang berkuasa.

d.      Tema himpunan tertumpu atau fokus kepada kegiatan kristianisasi, kesan dan cabarannya kepada masyarakat majmuk di negara ini.

e.      Penyertaan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai tonggak atau payung bangsa Melayu dan Agama Islam adalah sangat munasabah dan bertepatan pada masa dan ketikanya.


4.      Penganjur Program

Program Himpunan Sejuta Umat akan dianjurkan oleh badan-badan bukan kerajaan serta NGO-NGO Islam serta penglibatan warga korporat dan warga kerja masing-masing.

Masyarakat Islam khususnya akan menjadi peserta barisan hadapan.  Mereka mewakili pelbagai pertubuhan, institusi-Institusi pendidikan, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, AJK Masjid dan Surau, tenaga guru dan lain-lain badan serta pertubuhan yang akan disenaraikan kemudian. 

Sebuah sekretariat akan ditubuhkan.  Sekretariat ini akan dibantu oleh beberapa pasukan kerja yang akan menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan tempat himpunan, kemudahan yang diperlukan, susur atur majlis, penyediaan makanan dan tempat solat, publisiti dan pemberitahuan awam, tetamu jemputan, iklan di media cetak dan elektronik serta media baru dan sebagainya. 


5.      Pembiayaan

Program ini akan dibiayai secara tajaan, pungutan derma dan sumbangan CSR dikalangan syarikat-syarikat korporat.  Akaun Tabung Amanah akan dibuka dengan pengendalian kewangan berpandu kepada prinsip-prinsip keamanahan dan kebertanggungjawaban yang ketat.


6.      Kandungan Program

Secara tentatif Program Himpunan Sejuta Umat ini dicadangkan diisi dengan acara-acara berikut:

a.      Ucapan penganjur mengalu-alukan penyertaan para peserta himpunan,
b.      Alunan Asma Ul-Husna,
c.       Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahan,
d.      Nasyid bertemakan jihad mempertahankan kesucian Islam,
e.      Ucapan tetamu utama,
f.        Ucapan  wakil-wakil NGO terpilih,
g.      bacaan ikrar mempertahankan kesucian Islam,
h.      Menyampaikan logo Himpunan Sejuta Umat kepada wakil-wakil negeri sebagai tanda komitmen mereka penganjuran himpunan yang sama diperingkat negeri-negeri.


7.      Tarikh, Masa dan Tempat

Tarikh yang dicadangkan adalah 22 Oktober 2011 (Sabtu) jam 2.00 petang hingga 6.00 petang.  Tempat yang dicadangkan adalah Stadium Shah Alam.


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PerhimpunanNGObincangakidah_kedudukanIslam/Article


No comments: