My scribbles

Tuesday, May 12, 2009

KBAZ di Utusan

*Bantu Palestin secara berterusan*

KUALA LUMPUR 9 Mei - Segala tindakan bertujuan membantu rakyat Palestin
perlu dilakukan secara berterusan dan bukannya bermusim kerana penindasan
Zionis ke atas mereka tidak pernah berhenti.

Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, sebagai contoh langkah memboikot
barangan buatan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang sepatutnya diperhebat
serta dipromosikan sehingga sekarang.

Beliau berkata, usaha tersebut sebenarnya merupakan salah satu bentuk jihad
kerana ia adalah tanda sokongan umat Islam negara ini terhadap perjuangan
rakyat Palestin menentang kezaliman rejim Zionis.

''Makna jihad ialah berusaha bersungguh-sungguh dan orang yang mahu berjihad
tidak semestinya mengangkat senjata.

''Salah satunya ialah dengan memberi bantuan sama ada dalam bentuk material
atau memberi sokongan padu terhadap perjuangan mereka,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen
Berakhirnya Agenda Zionis di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) di sini hari ini.

Konvensyen sehari itu dianjurkan oleh Aman Palestin Berhad dan Persatuan
Belia Islam Nasional (Pembina).

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad, Abdullah Zaik Abdul
Rahman dan Presiden Pembina, Kamil Azmi Tohiran.

Konvensyen itu berjaya menarik minat 3,000 belia dari seluruh negara untuk
bersama-sama menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin.

Dalam perkembangan sama Juanda berkata, beliau percaya jika sesuatu tindakan
atau kempen itu dilakukan secara berterusan, masyarakat akan sentiasa ingat
terhadap penderitaan rakyat Palestin

Selain boikot, beliau berkata, membaca doa khusus untuk rakyat Palestin
setiap kali imam membaca khutbah Jumaat adalah salah satu bentuk sokongan
yang harus dilakukan secara berterusan.

''Di Perlis, semua masjid pada setiap Jumaat dikehendaki membaca doa khusus
untuk rakyat Palestin. Kami berdoa pada Allah agar mereka satu hari nanti
bebas daripada cengkaman Zionis.

''Kami berasa bertanggungjawab untuk berdoa kerana kebanyakan rakyat
Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis adalah di kalangan saudara
seagama,'' katanya.

Sementara itu Abdullah Zaik berkata, pihaknya akan sentiasa menggerakkan
usaha untuk memberi kesedaran khususnya di kalangan generasi muda mengenai
isu Palestin.

''Kita perlu menyatakan kepada mereka yang kita tentang ini ialah puak
zionis dan bukan bangsa Yahudi. Zionis yang kita maksudkan ini ialah
kerajaan Israel.

''Langkah itu penting supaya mereka tidak terkeliru dengan isu yang
melibatkan rakyat Palestin,'' tambahnya.

No comments: