My scribbles

Friday, February 4, 2011

MESIR : Hari penentu tiba … menang atau syahid

Posted on 3 Februari 2011 by Ustaz Halim

Ucapan Mubarak untuk terus bertahan. Hingga bila ? Hingga pertumpahan darah
ribuan nyawa, atau sehingga Rakyat menangkapnya didalam Istana dan mengadilinya?

Hari ini masuk hari Khamis. Demo rakyat sudah berlalu seminggu. Kelmarin, Selasa
Perhimpunan-1-juta mencapai target. Bagi orang Mesir, hari Jumaat adalah hari
minggu dan hari berkumpul kerana ada solat Jumaat. Saya menjangka esok, Jumaat
adalah hari penentu. Jika dibiarkan Jumaat akan datang bererti percaturan dan
tawar menawar terlalu panjang dan lama. Setelah Mubarak gagal menyuraikan rakyat
yang berhimpun di Medan Tahrir, beliau menawarkan tidak bertanding lagi
September 2011 (7 bulan) depan. Tawaran ini ditolak mentah-mentah oleh rakyat
kerana tahu Mubarak akan menipu mereka ketika pilihanraya September nanti,
bahkan kemungkinan besar sebelum itu. Disaat itu rakyat tidak boleh lagi
berhimpun sekuat ini yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah Mesir. Rakyat
menuntut Mubarak segera keluar dari Mesir dan biarkan rakyat menentukan
masadepan negara. Selagi tiada kemaraan dan serangan rakyat, tentera Mesir tidak
bertindak apa-apa, belum menunggu arahan menembak sesiapa.

Semalam, tentera Mesir pula mengajak rakyat menhentikan demo dengan alasan
“Hasrat rakyat telah kesampaian kepada pihak Pemerintah”. Keputusan Rakyat
petang tadi menyebabkan saya termenung lama dan merenung jauh. Pimpinan rakyat
disegenap lapisan telah mencapai kata sepakat bahawa rakyat adalah bersatu teguh
dan menuntut Mubarak, regimnya dan parlimennya hendaklah keluar dari Mesir.
Tiada berbincangan dengan orang yang telah tidak mempunyai apa-apa kuasa pada
hakikatnya. Dari senerio ini dapat disimpulkan :

[A] Jika Rakyat bersurai dan pulang ke rumah sebelum Mubarak kalah :

1. Mereka tidak akan dapat berhimpun seramai itu lagi dimasa akan datang.
Mubarak tidak akan membiarkan pisang berbuah dua kali. Rakyat akan ditindas
dengan lebih keras dan kejam melalui seluruh jentera kerajaan terutamanya polis.

2. Rakyat akan pulang dalam keadaan hina dina, kemiskinan dan ketiadaan
kebebasan akan terus membelanggu mereka dan anak cucu mereka generasi demi
generasi. Separuh dari penduduk berjumlah 80 juta berpendapatan kurang dari USD2
(RM6) sehari.

3. Tokoh-tokoh mereka akan dibunuh atau ditangkap dan tidak mudah untuk mencari
pengganti yang seperti yang ada pada ketika ini.

Rakyat sedang menunggu keputusan Mubarak dan tenteranya. Mubarak sedang menunggu
Rakyat menguatkan perhimpunannya dengan menambah bilangan ke 8 juta orang.

“Katakanlah kamu tidak menunggu kami melainkan (kami mendapat) salah satu dari
dua kebaikan (Menang atau Syahid). Dan kami pula menunggu pada kamu, kamu akan
dikenakan Allah dengan azab disisiNya, atau (azab) dari kami. Maka kamu
tunggulah. Sesungguhnya kami (juga) menunggu bersama-sama kamu” (Surah At-Taubah ; 52).

[B] Jika Rakyat tidak merubah pendirian sehinggalah Mubarak keluar dari
Mesir :

1. Mereka tidak boleh lagi berdiam diri hingga berminggu-minggu di Medan Tahrir
dan di tempat-tempat perhimpunan yang lain. Mereka harus terus mara, menguasai
seluruh jentera regim Mubarak yang penting terutama Stesen TV, Kementerian Dalam
Negeri dan Istana Presiden.

2. Jika jika tentera menghormati perasaan rakyat, berkhidmat untuk rakyat,
mereka dengan mudah menguasai keadaan. Rakyat Mesir termasuk tenteranya adalah
bangsa yang sayang menyayangi antara satu sama lain. Sekiranya tiada pengaruh
asing atau keputusan dari pihak luar, saya percaya tentera akhirnya akan
meletakkan senjata dan masuk ke barisan Rakyat. Rakyat akan menang dan Mubarak
akan diadili oleh Rakyat.

3. Jika tentera patuh kepada pegawai dan ketua turus mereka untuk menembak
Rakyat yang mara untuk menawan Stesen TV, Kementerian Dalam Negeri dan Istana
Presiden, sebanyak mungkin peluru akan dimuntahkan ke arah penunjuk perasaan
berjumlah jutaan. Ratusan malah ribuan nyawa boleh terkorban namun arus jutaan
manusia tiada siapa yang boleh menghalang. Rakyat akan menang dan Mubarak tetap
akan diadili oleh Rakyat, tapi dengan lebih keras.
Pengaruh asing akan cuba melobi ke arah pilihan ini terutama Israel dan Amerika demi menjaga maslahatnya.
Dikatakan Amerika dan Barat ditahap ini sedang memujuk Mubarak untuk melepaskan
jawatannya demi mengelakkan pertunpahan darah. Saya mencurigai khabar ini. Jika
benar pun, ini lebih bermakna Mubarak memberi laluan kepada timbalannya yang
baru dilantik, Umar Sulaiman untuk menjadi Presiden dan terus mengekalkan
regimdiktator yang lama. Namun hasrat hakiki yang sebenar ialah tentera Mubarak
memuntahkan sebanyak mungkin peluru ke dada rakyat Mesir.
Ringkasnya, sekiranya Perhimpunan-8-juta berjaya dilakukan di Medan Tahrir pada
hari Jumaat esok dan seterusnya, lalu bergerak untuk memberikan pukulan terakhir
kepada regim Mubarak, ada 3 pilihan akan berlaku:
[A] Pertama :Mubarak, Umar Sulaiman dan regimnya akan mengalah, berundur,
keluar dari Mesir. Rakyat menang dan mendapat kebebasan membuat pilihanraya dan
memilih kerajaan Rakyat. Pertumpahan darah dapat dielakkan. Ini menjadi harapan
kita, yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin Rakyat dan saranan Dr Yusof
Al-Qardhawy yang berucap dari Qatar, tempat buangannya.
[B] Kedua : Mubarak bertahan, tentera bertindak tegas, membunuh seramai mungkin
penunjuk perasaan dan menggagalkan hasrat Rakyat dengan menggunakan kekerasan.
Rakyat gagal dan pulang ke rumah masing-masing untuk dikenakan tekanan yang
lebih kejam dan dahsyat. Ini hasrat Israel dan harapan sebenar Amerika dan
sekutu-sekutunya termasuk sesetengah pemimpin Arab.
Pada saya Rakyat tetap akan mara dan membanjiri dan menawan pusat-pusat penting
di Kaherah. Persoalannya seramai mana nyawa yang terkorban bergantung kepada
bila tentera akan berhenti memuntahkan peluru-peluru hidup di dada Rakyat yang
mara, adakah dipermulaan kemaraan, dipertengahan atau diakhir. Foto: Menteri
Pertahanan, Field Marshall Tantawi sedang bercakap dengan salah seorang tentera
yang menjaga Stesen Televisyen berdekatan Medan Tahrir. Adakah beliau akan
berpaling tadah seperti banyak revolusi-revikusi di dunia dan memihak kepada
rakyat, atau terus mengarahkan tenteranya menembak Rakyat dan akhirnya nanti
diadili oleh Mahkamah Rakyat ?
[C] Ketiga : Mubarak bertahan, tentera bertindak tegas, membunuh seramai
mungkin penunjuk perasaan tetapi Rakyat mara, membanjiri dan mengalahkan regim
Mubarak. Kesemua regim akan diadili dengan keras kerana membunuh ribuan nyawa
yang tidak berdosa. Ini yang kemungkinan besar akan berlaku jika Mubarak silap
dalam membuat kira-kira sendiri sebagai rakyat Mesir dan menerima bulat-bulat
nasihat atau arahan dari Amerika dan Israel.

[D] Keempat :Mubarak bertahan, namun setelah nampak jumlah Rakyat yang begitu
ramai dan hasrat Rakyat yang tidak boleh dibendung lagi, tentera pangkat bawahan
dan pertengahan akhirnya akan bertukar dan masuk ke barisan Rakyat. Rakyat akan
menang dan pertumpahan darah yang banyak dapat dielakkan. Ini akan berlaku
sekiranya tiada tekanan dari luar terutamanya Amerika dan pemimpin-pemimpin
Rakyat berjaya meyakinkan tentera agar bersama mereka membebaskan Mesir dari
segala bentuk pengaruh asing dan kekejaman bonekanya.

Presiden Romania, Nicolae Ceausescu yang memerintah secara diktator selama 21
tahun (1977-1989 , lambat dan silap membuat keputusan untuk cabut keluar dari
negaranya. Ditengah-tengah kemuncak kemarahan rakyatnya, dia membuat perhimpunan
penyokong-penyokongnya yang kemudian bertukar menjadi lawan. Setiap butir peluru
yang dimuntahkan oleh tenteranya ke dada-dada rakyat menjadi tanggungjawabnya
hasil dari keputusannya untuk tidak meletak jawatan dan menentang rakyatnya.
Kebangkitan Rakyat menang pada 22/12/1989, ketika saya baru sahaja menjejak kaki
di Mesir di tahun satu Universiti Al-Azhar. Tiga hari kemudian Nicolae Ceausescu
diadili oleh mahkamah Rakyat selama 2 jam dan dihukum tembak hingga mati atas
dakwaan mengarah tentera menembak 60,000 rakyat yang berhimpun menuntut dia
mengundurkan diri.

Sesetengah bertanya atau berpendapat bahawa tiba masanya Ikhwan Muslimin
memegang tampuk pemerintahan Mesir. Bangkitnya Islam di Mesir bererti kesudahan
riwayat Israel dan Kuasa-kuasa besar Dunia yang mendokongnya adalah hampir tiba.
Ini harapan semua pihak yang cintakan Islam dan tanahair Islam. Ini harapan
kebanyakan rakyat Mesir sendiri. Akan tetapi Ikhwan mempunyai perhitungannya
tersendiri.

Ketua Ikhwan Muslimin Tunisia (Parti An-Nahdhah), Asy-Syeikh Abdul Rashid
Ghannusyi, tiba di Tunis Airport dari negara buangannya di England. Ramai
mendengar kemenangan Parti Inqaz di Algeria tahun 1991, tetapi tidak ramai yang
mendengar bahawa pada tahun yang sama Parti Nahdhah menang pilihanraya di Tunis.
Sebaik kemenangan, tentera Tunisia diarah mengepung rumah Abdul Rashid Gannusyi
untuk membunuhnya, akan tetapi Rakyat datang dan mengepung pula tentera
menyebabkan keadaan menjadi sengit. Dikala itu, tuan kepada negara, Perancis,
mencadangkan agar Abdul Rashid dibebaskan dan keluar ke negara luar. Sejak itu
beliau ke England dalam buangan. Saya pernah bertemu beliau di Muaz Islamic
Centre, Birmingham pada tahun 1995 dalam program Perhimpunan Musim Sejuk
pelajar-pelajar Malaysia. Ketika tiba di Tunisia kelmarin, beliau mengatakan
Parti Nahdhah berhasrat sekadar bertanding dalam pilihanraya Parlimen, belum
pilihanraya Presiden.

Pada hemat saya, diantaranya :

1. Menonjolkan Ikhwan difasa terlalu awal ini hanya akan mengundang serangan
musuh, ekonomi atau tentera, dalam masa terlalu awal. Selepas perjanjian Camp
David (17/9/1978), Mesir mengimpot kebanyakan makanan rujinya, gandum dan
tepungnya dari Amerika. Saya dimaklumkan kapal-kapal pengangkut gandum Amerika
hanya akan mencurahkan tepung ke Pelabuhan Iskandariah hanya apabila bekalan
tepung dalam negara Mesir mencukupi untuk selama 2 minggu atau kurang. Ini
bermakna Amerika memastikan rakyat Mesir makan tepung sedia ada dan tidak
menyimpannya. Sekiranya Islam naik di Mesir, Amerika akan memotong bekalan
tepung dan kestabilan Kerajaan Islam di Mesir akan langsung tergugat bermula
dalam tempoh tidak lebih dari 2 minggu dan tidak akan tahu bila berakhirnya.

2. Jika Rakyat berjaya mengalahkan Mubarak pada kali ini, pemimpin Rakyat yang
baru akan mewarisi segala peninggalan buruk yang ditinggalkan oleh regim Mubarak
dan regim-regim sebelumnya sejak puluhan tahun yang lalu. Yang paling
menonjolnya ialah kemiskinan yang melata dan bilangan pencuri dan perasuah yang
ramai kesan darinya, sarang-sarang individu dan pegawai-pegawai polis yang
mempunyai latihan dan keterikatan dengan Israel dan Amerika dan keruntuhan
akhlak dari budaya Barat yang diekspot oleh Barat melalui berbagai cara. Ini
jika dilihat dari dalam.

3. Dalam kajian ilmu sosiologi, sesebuah negara atau pertubuhan adalah seperti
seorang insan. Ada masa sakit, baring terlantar dan fokus untuk berubat dan
menyihatkan dirinya, dan ada pula masa sihat, aktif dan boleh berperanan kepada
orang lain. Kesan dari pemerintahan regim-regim yang lalu, Mesir sebuah negara
yang sakit seperti yang disebut dalam (2) diatas. Ia memerlukan masa untuk
membaiki segala kerosakan yang diwarisi, dengan sesegera boleh, supaya ia boleh
segera berperanan sebagai abang sulung kepada negara-negara umat Islam yang
lain. Bukan dari Maslahah Syarak, sebaik Islam bangkit, Mesir terus mencari
sengketa dengan negara lain sedang ia sendiri dalam keadaan sakit. Namun jika
Israel atau Kuasa-kuasa Besar yang memulakannya dahulu, Allah menajar dan
mewajibkan pemuda-pemuda Islam memelih kemuliaan dan berjihad mempertahankan
sempadan negara. Allah swt mempunyai tadbirnya tersendiri. Dia yang mengatur
Perang Badar dalam keadaan para Sahabat ra menyangka mereka tidak bersedia.“Dia
hendak membenarkan yang Hak, dan Dia hendak membatilkan yang Batil (melalui
Perang Badar)” (Al-Anfaal).

4. Yang sangat asasi yang perlu difahami disini mengenai manhaj (carakerja)
dakwah Ikhwan Muslimin ialah ia sentiasa memastikan ia adalah salah satu juzuk
dari jasad umat, dan bukan terpisah darinya. Oleh sebab itu manhaj seperti ini
menolak harapan dan desakan agar Ikhwan Muslimin memegang tampuk pemerintahan
sebaik regim Mubarak dijatuhkan. Ini adalah kerana yang menjatuhkan Mubarak
secara langsung adalah seramai beberapa juta orang dan bukan 80 juta
penduduknya. Ikhwan Muslimin mesti menjadi salah satu juzuk (bahagian) dari 80
juta penduduk Mesir dan bukan dari 8 juta peserta demonstrasi. Oleh itu Ikhwan
Muslimin akan membuat keputusan sejauhmana keterlibatannya dalam Parlimen dan
Kerajaan Mesir hanya setelah keadaan dalam negara stabil, sistem demokrasi yang
sebenar dilahirkan di bumi nyata terlebih dahulu dan semestinya melalui
Pilihanraya yang sebenar, bebas dan telus, disertai oleh segenap lapisan
masyarakat Mesir yang berbagai. Hal ini juga memerlukan masa.

Masyarakat umum dan Barat sendiri mengetahui bahawa Mubarak tidak memiliki
saingan di dalam Mesir kecuali Ikhwan Muslimin. Bahkan Ikhwan Muslimin sendiri
adalah bukan saingannya di dalam masyarakat Mesir. Oleh kerana itu Mubarak
didokong oleh hanya polis-polisnya dan Kuasa-kuasa Asing semata-mata. Adapun
parti-parti lain yang turut erlibat atau lebih tepat lagi dilibatkan dalam
mesyuarat pemimpin-pemimpin Rakyat seperti parti Nusairi, parti Wafd, parti
Sya’ab, parti Al-Ghad dan seumpamanya, mereka tidak lebih seperti parti-parti
“nyamuk” seperti parti Berjaya dan seumpamanya di Malaysia. Hakikatnya
parti-parti tersebut adalah individu-individu semata-mata seperti halnya parti
Watani pimpinan Mubarak.

Semoga Allah swt memenangkan umat Islam dalam berhadapan dengan Kuasa-kuasa
besar Dunia dan boneka-bonekanya yang menindas dan menjadikan umat Islam
ketinggalan jauh ke belakang dalam persaingan dunia moden. Juga semoga Allah swt
memelihara rakyat Mesir dari berlakunya pertumpahan darah yang banyak, menerima
mereka yang telah dan bakal terkorban sebagai para Syuhadak, membaiki dan
menstabilkan Mesir sesegera boleh selepas huru hara. Semoga Allah swt terus
menyelamatkan Mesir selepas daripada itu dari serangan-serangan luar, ekonomi
maupun ketenteraan, yang tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap bani insan.
Moga negara-negara umat Islam segera menyalurkan persaudaraan dan bantuan yang
diperlukan oleh rakyat Mesir dalam menghadapi sebarang dugaan dan cabaran.

“Kami ingin menganugerahkan orang-orang yang tertindas di mukabumi. Kami hendak
menjadikan mereka imam-imam (pemimpin di tempat mereka). Kami hendak menjadikan
mereka orang-orang yang mewarisi (kepimpinan dunia). Kami meneguhkan mereka di
mukabumi. Kami (hendak) memperlihatkan Firaun, Haaman dan tentera-tentaranya apa
yang mereka takutkan (kebangkitan dan kekalahan)”(Al-Qasas : 5).

No comments: