My scribbles

Saturday, March 17, 2012

Gerakan Mahasiswa.Dulu dan sekarang,apa bezanya?

Apakah perbezaan zaman dahulu dan zaman sekarang? Gerakan mahasiswa dahulu dan gerakan mahasiswa sekarang? Semangat dahulu dan semangat sekarang? Matlamat dahulu dan matlamat sekarang? Kegigihan gerakan mahasiswa dahulu dan kegigihan gerakan mahasiswa sekarang? Ini adalah bentuk-bentuk persoalan yang mula timbul satu-persatu dan berlegaran di dalam minda penulis selepas baru-baru ini mengkaji gerakan mahasiswa sejauh 50 tahun ke belakang dan hampir dua tahun bersama PEMBINA menggariskan model yang ingin diterjemahkan sebagai gerakan mahasiswa di universiti hari ini.



Di satu sisi, kekaguman kepada generasi gerakan mahasiswa dahulu memang harus diperakui. Mereka mempunyai semangat yang tinggi walaupun diperlekehkan, kemampuan yang tinggi walaupun dibelenggu kemiskinan, mobilasi yang tinggi walaupun hanya dengan berjalan kaki dan berbasikal, serta matlamat yang tinggi hasil kepekaan mereka terhadap masyarakat dan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan kampung dan pedalaman.

Dahulu, seawal pergerakan mereka pada awal era 60-an, antara tolakan (drive force) kebangkitan mereka adalah kemiskinan dan satu macam bentuk ketidakperihatinan dalam usaha-usaha pembangunan terhadap masyarakat luar bandar. Mahasiswa Melayu yang diserap masuk ke dalam universiti secara beramai-ramai daripada tahun 1958 hingga tahun 1963 dari kawasan luar bandar mula menyedari akan perkara ini.

Bagaikan suatu ’culture shock’ melihat budaya yang dimainkan masyarakat bandar yang boros berbelanja, nilai pendidikan yang mereka tidak mampu perolehi ketika di bangku sekolah dahulu,  juga penindasan yang dilakukan oleh kapitalis desa yang mengambil 50% dan kadang-kala lebih daripada hasil pengeluaran petani dan nelayan. Perkara ini diakui bersama untuk diwujudkan usaha memperjuangkan hak-hak mereka oleh mahasiwa ketika itu. Satu agenda yang dipersetujui oleh kesemua mahasiswa.

Kagum!

Kemudian hampa. Hampa melihat mahasiswa sekarang. Langsung tiada daya penolak untuk mereka berjuang dan berusaha lebih dan gigih. Layu dan semakin melayu sedangkan mahasiswa di negara lain semakin maju kehadapan. 24 jam sehari yang diberi Tuhan tidak mampu dimanfaatkan, bukan sahaja dalam membangun potensi diri bahkan tidak juga dalam memberikan khidmat kepada umat. Kalau adapun mahasiswa yang mempunyai ’drive force’ aktivisme yang kuat, daya ini lebih bersifat individualistik dan gerakan juga lebih bersifat individu. Agenda yang dibawa tidak dikongsi bersama dalam satu kumpulan secara polemik. Akhirnya, kesedaran menjadi hebat hanya dalam pelajaran dan agenda perjuangan mahasiswa yang berdasarkan idealisme dan ketinggian intelektual mati.

Mahasiswa dahulu, kaki mereka melangkah ke universiti dengan cita-cita tiga hingga empat tahun yang dihabiskan untuk belajar bakal dicurahkan buat masyarakat. “Minggu Kebajikan” yang dianjurkan oleh mahsiswa pada tahun 1962 dan 1963 yang masing-masing telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM 12,000 dan RM 15,000 telah dimanfaatkan untuk membaik pulih sekolah dan disumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan. Angka-angka ini ketika itu adalah suatu jumlah yang sangat banyak. Semangat ’social-centric’ sangat menebal dalam diri mahasiswa ketika itu. Bahkan sehingga hari ini buktinya masih lagi wujud, generasi awal yang sedang menikmati pencen dari kerjaya masih lagi turun padang untuk berkhidmat mendidik dan mengajar. Menabur bakti dan mutiara murni buat generasi muda.

Sekali lagi, saya kagum!

Realiti mahasiswa hari ini ternyata sangat berbeza. Kehidupan mahasiwa hari ini di kampus universiti hanya menghitung tempoh tiga hingga empat tahun untuk melangkah keluar dari universiti, mendapatkan kerjaya yang megah, berkahwin dengan wanita idaman, memiliki rumah mewah, dan kitarannya berterusan, berhempas-pulas hanya di sekitar memenuhi keperluan diri semata-mata. Kehidupan tertumpu kepada diri sendiri atau istilahnya ’self-centric’. Realiti ini semakin menular ke dalam generasi mahasiswa gen-Y. Tidak ramai mahasiswa gen-Y yang ada cita-cita untuk berbakti kepada masyarakat semasa seusai belajar nanti.

 50 tahun dahulu, gerakan-gerakan mahasiswa bersatu dan bersepakat dalam isu-isu bersama. Mereka boleh sahaja berbeza pandangan dan tidak bersetuju dalam banyak ruang, seperti apa yang berlaku kepada Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) pada tahun 1965, apabila PMUM tercabar sebagai persatuan yang paling ramai ahlinya tetapi arus perjuangan mahasiswa lebih diterajui oleh PBMUM yang lebih kecil kapasitinya tetapi beragenda besar dalam memperjuangkan Bahasa Melayu dan semangat nasionalisme. Namun murninya semangat perjuangan, mereka mampu duduk bersama untuk bersepakat dan bersatu contohnya dalam isu kenaikan harga getah pada tahun 1974. Kita seharusnya berasa kagum dengan semangat kesatuan mereka dan mengutamakan agenda besar walaupun dari sudut pendekatannya timbul isu-isu yang agak kontroversi.

Selepas AUKU 1971 digubal, bermulalah era pilihanraya kampus (PRK) di peringkat universiti. Akta ini pada awalnya melatih mahasiswa agar bersikap matang, rasional dan profesional dalam perjuangan akan tetapi dihadkan dalam ruang lingkup kampus dan universiti, sebelum keluar ke medan sebenar dalam isu-isu nasional selepas graduasi.

Namun begitu, jika kita melihat dengan kacamata yang jernih ini secara asasnya akta ini tidaklah menjadi punca kepada perpecahan gerakan mahasiswa yang parah kepada blok-blok partisan sehingga wujudnya apa yang diistilahkan sebagai Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi. Blok-blok yang mempunyai pengaruh besar ini tidak mampu untuk bersama dan tetap berselisih hatta dalam isu-isu besar yang seharusnya boleh disepakati bersama.

Ya, benar! Tidak masuk akal jika pilihanraya tidak ada dua pihak pentadbiran dan pembangkang. Maaf. Akan tetapi, adalah lebih tidak masuk akal bagi mereka yang satu aqidah dan diikat dengan persaudaraan Islam tetap bersengketa dalam segenap ruang dan aspek sehingga hari Kiamat. Sama ada kita sedar atau tidak, ruang politik kampus yang bersifat yang kecil dan terhad ini, tidak berupaya untuk memberikan kita satu sudut pandang yang sisi positif ke arah melahirkan generasi pelapis kepemimpinan negara yang seharusnya mampu membina kesatuan dan kesepakatan nasional di masa akan datang, dan seharusnya bermula dengan kesatuan dan kesepakatan mahasiswa dan gerakan-gerakannya hari ini. Sentimen-sentimen berbaur permusuhan yang kronik dan kebencian yang membara telah membutakan mata untuk mengiktiraf kebaikan di antara satu. Sebaliknya berlaku apabila kita lebih mengutamakan kemegahan ‘bendera’ masing-masing, menjatuhkan orang lain menjadi sikap dan akhlaq kita berbanding memperbaiki keadaan dan menampung kelemahan antara satu sama lain.

Alangkah indahnya andai generasi mahasiswa hari ini dan gerakan-gerakan mahasiswa mampu bersatu dan bersepakat dalam satu agenda besar bersama. Lebih banyak bentuk kemajuan, potensi dan tenaga yang bisa terhasil dengan kesepakatan dan kerjasama walaupun ia dalam parameter universiti. Andai kita menelusuri sirah agung perjuangan Rasulullah SAW, kedatangan Baginda ke Madinah telah menamatkan persengketaan yang diwarisi sekian lama di antara suku Aus dan suku Khazraj. Rasulullah SAW telah mendamaikan dan mempersaudarakan mereka. Kekuatan persaudaraan atas asas aqidah ini telah menjadi titik tolak kepada keagungan perjuangan Islam yang seterusnya berkembang menjadi suatu tamadun agung dalam sejarah kemanusiaan.
Dan kini kita di Malaysia menantikan model Rasulullah tersebut wujud di dalam universiti-universiti di Malaysia untuk mendamaikan dan mempersaudarakan semula sama ada di antara Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi atau fraksi-fraksi lain. Mungkinkah PEMBINA mampu menjadi model tersebut?

Semoga dengan kehadiran dan kemunculan PEMBINA mampu dirasai dan memberikan manfaat besar kepada mahasiswa di seluruh kampus dan universiti di tanah air, Malaysia.

No comments: